SHAH ALAM, 27 JAN: Sejak kecil, setiap kali mengikut ayahnya seorang juruteknik pesawat di Airod Sdn Bhd ke tempat kerja, mata Buvanraj Rajasingam tidak pernah lepas daripada memandang pesawat yang berlepas dari landasan.
Bunyi ngauman enjin dan kelibat kapal terbang yang semakin mengecil membelah langit biru menyebabkan dirinya dalam diam menyimpan cita-cita menjadi juruterbang untuk mengemudi pesawat apabila dewasa.
Namun, laluan untuk duduk di kerusi kokpit tidak mudah dan Buvanraj, 32, berkata dirinya terpaksa mengharung pelbagai cabaran sebelum dapat menjadi Pegawai Pertama syarikat penerbangan AirAsia pada tahun ini.
“Pada mulanya saya berhasrat menjadi juruterbang, tetapi pada masa itu peluang agak terhad. Jadi, ayah menasihatkan saya untuk meneruskan pelajaran dalam bidang penyelenggaraan kapal terbang dahulu untuk memperkukuh asas dan pemahaman tentang pesawat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bermula dengan mengambil jurusan penyelenggaraan pesawat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam, Buvanraj membuktikan laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu membuka peluang kerjaya berperingkat sehingga ke tahap tertinggi dalam industri penerbangan.
Selepas menamatkan pengajian dan menerima lesen sah, Buvanraj berkhidmat sebagai Juruteknik Kapal Terbang di AirAsia selama lapan tahun sebelum menyertai Program Juruterbang Kadet syarikat itu pada 2023 untuk mengejar cita-cita asalnya.
Pendedahan awal tentang sistem pesawat serta pengalaman bekerja memudahkan dirinya melepasi lima peringkat ujian saringan sebelum diterima masuk ke program latihan juruterbang selama dua tahun.
“Berbeza dengan mereka (daripada Sijil Pelajaran Malaysia) yang masuk terus ke bidang juruterbang, mereka tidak tahu bagaimana kapal terbang berfungsi atau mengaktifkan sistem. Jadi mereka perlu belajar asas sistem dari awal.
“Bagi kami yang ada latar belakang penyelenggaraan kapal terbang sudah mempelajari semua sistem itu secara terperinci. Jadi kami boleh terus fokus kepada latihan penerbangan seperti cara menerbangkan dan mendaratkan kapal terbang,” katanya.
Penuntut semester akhir Diploma Teknologi Kejuruteraan dalam Penyelenggaraan Avionik di Universiti Kuala Lumpur-Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) Muhammad Danish Aqil Akim, 21, berkata TVET melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal untuk terus memasuki alam pekerjaan.
“Institusi ini menawarkan konsep dua dalam satu, iaitu gabungan teori akademik dan latihan praktikal industri yang intensif untuk persediaan kerjaya. Jurusan disediakan merangkumi hampir semua bidang penerbangan termasuk jurutera penerbangan, juruteknik dan pengurusan syarikat penerbangan,” katanya.
Muhammad Danish Aqil yang juga penuntut huffaz professional, iaitu program tahfiz melalui inisiatif universiti itu berkata kemahiran TVET penerbangan juga ‘laris’ dalam industri lain seperti Minyak dan Gas kerana asas teknikal yang serupa.
Menyentuh stigma kecerdasan buatan (AI) bakal menggantikan pekerjaan lepasan TVET, remaja itu berkata pandangan tersebut perlu diperbetulkan kerana setiap pembangunan teknologi baharu memerlukan tenaga mahir untuk membina, menyelenggara dan mengajarnya.
“AI dan teknologi sentiasa berkembang dari semasa ke semasa. Namun, untuk membangunkan AI tetap memerlukan tenaga mahir. Jadi, golongan lepasan TVET yang berperanan menjadi tenaga mahir untuk memastikan teknologi itu dapat berfungsi dengan berkesan,” katanya.
Sementara itu, penuntut TVET semester lima Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Automotif (Penyelenggaraan) di UniKL-Malaysia France Institute (UniKL MFI) Nur Lisa Jasni, 22, berkata TVET turut memberi peluang kepada wanita untuk menceburi bidang kemahiran automotif yang lazimnya didominasi lelaki.


