Gara-gara lawan arus, motosikal ditunggang remaja tiada lesen bertembung kereta

6 Dis 2025, 1:41 AM
Gara-gara lawan arus, motosikal ditunggang remaja tiada lesen bertembung kereta

SHAH ALAM, 6 DIS: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun cedera selepas motosikal ditunggangnya secara melawan arus bertembung dengan sebuah kereta di Jalan MKH Boulevard 2, Kajang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata kemalangan sekitar jam 2 petang itu turut membabitkan pembonceng lelaki berumur 20 tahun, manakala kereta dipandu lelaki berusia 30 tahun.

“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal terbabit tidak mematuhi tanda arah laluan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta yang datang dari arah depan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati remaja tersebut tidak memiliki lesen memandu yang sah.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke atas jalan sebelum dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan.

“Penunggang terbabit mengalami kecederaan di kaki serta patah tangan kiri, manakala pembonceng motosikal dan pemandu kereta tidak cedera,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai serta Seksyen 26(1) akta sama kerana tiada lesen memandu.