MPS cadang bina laluan alternatif lori kuari, elak ganggu kawasan perumahan

7 Mei 2026, 11:37 AM
MPS cadang bina laluan alternatif lori kuari, elak ganggu kawasan perumahan

SHAH ALAM, 7 MEI: Kertas cadangan berhubung pembinaan laluan alternatif bagi kegunaan lori kuari berhampiran Hutan Simpan Bukit Lagong masih di peringkat penyediaan.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menerusi kenyataan memaklumkan cadangan itu melibatkan laluan khas sepanjang kira-kira 2.5 kilometer berhampiran Kampung Orang Asli Kuang serta laluan alternatif dari Jalan Matang Jaya 11 ke Jalan BRP 10/2.

“Cadangan ini bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas, meningkatkan tahap keselamatan penduduk setempat serta melancarkan pergerakan trafik di kawasan terlibat.

“Daripada aspek perancangan, pihak teknikal berkaitan turut terlibat bagi memastikan cadangan ini dapat dinilai secara menyeluruh dan dilaksanakan secara teratur,” katanya kepada Media Selangor.

Tambah pihak berkuasa tempatan itu, kertas cadangan tersebut akan dikemukakan untuk pertimbangan pihak berkuasa negeri.

“Pelaksanaan projek masih belum dapat ditentukan kerana ia tertakluk kepada proses kelulusan dan pertimbangan lanjut oleh pihak berkaitan.

“Semua perancangan yang dicadangkan akan mengambil kira kepentingan awam serta mematuhi prosedur dan peraturan ditetapkan,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan penduduk di Taman Matang Jaya dan Saujana Akasia, Sungai Buloh menggesa supaya lori membawa muatan berat tidak lagi menggunakan laluan tersebut sebagai jalan pintas.

Penduduk mendakwa perkara itu berlaku susulan keadaan laluan sekitar kawasan berkenaan yang sempit, selain terdapat papan tanda yang mengehadkan penggunaan kepada lori bawah lapan tan sahaja.

Penduduk turut mendakwa sejak kebelakangan ini, lori melebihi 20 tan sering melalui laluan tersebut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.