ADN mahu seni pembuatan wau diketengahkan sebagai warisan, produk pelancongan Sabak Bernam

7 Dis 2025, 1:00 AM
ADN mahu seni pembuatan wau diketengahkan sebagai warisan, produk pelancongan Sabak Bernam

SABAK BERNAM, 7 DIS: Seni pembuatan wau tradisional di daerah ini berpotensi diangkat sebagai produk pelancongan dan warisan rasmi Sabak Bernam, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail, yang mahu bakat penggiat seni tempatan diberi sokongan lebih kukuh.

Beliau berkata karya pembuat wau terkenal, Mohd Fauzi Abdul Manaf atau Wak Doyok, membuktikan seni tradisi masih mempunyai nilai ekonomi tinggi apabila setiap wau mampu mencecah harga ribuan ringgit serta menarik perhatian peminat dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, usaha menonjolkan seni wau bukan sahaja memelihara budaya Melayu, malah mampu membuka peluang pendapatan kepada penggiat seni di daerah itu.

Wak Doyok, yang dikenali kerana ketelitian dan identiti motif tersendiri, berkata setiap wau memerlukan pemilihan corak, warna dan ukiran yang tepat supaya karya yang dihasilkan bukan sekadar hiasan tetapi membawa nilai sejarah dan budaya.

"Saya mencadangkan agar seni pembuatan wau dijadikan sebahagian daripada program komuniti, pendidikan seni, dan acara pelancongan tahunan daerah Sabak Bernam.

"Langkah ini bukan sahaja mengangkat nama penggiat seni seperti Wak Doyok, tetapi turut memperkukuh identiti budaya daerah tersebut" kata Rizam ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau yakin dengan sokongan kerajaan negeri dan masyarakat, seni pembuatan wau mampu menjadi kebanggaan Sabak Bernam di peringkat negeri, negara malah antarabangsa.