SHAH ALAM, 5 DIS: Program One Hour Malaysia Clean Up anjuran Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling di Seksyen 17 Timur–Barat berjaya menghimpunkan hampir 250 pelajar Intec Education–UiTM dan komuniti setempat bagi memupuk budaya kebersihan serta mencegah pembiakan jentik-jentik.
Pegawai Promosi Kesihatan PKD Petaling, Edawaty Ujang berkata program berkenaan turut mendapat kerjasama rapat pengurusan masjid dan sekolah sekitar.
Menurutnya, Seksyen 17 dipilih kerana kawasan itu pernah diiktiraf sebagai Komuniti Kesihatan Terbaik Selangor, selain mempunyai terminal bas yang menjadi tumpuan ramai, sekali gus memerlukan kawalan kebersihan lebih rapi.
“Komuniti di sini memang proaktif. Mereka sudah terbiasa melaksanakan program kebersihan bulanan bagi memastikan tahap kelestarian sentiasa terpelihara,” katanya.
Edawaty berharap penyertaan pelajar IPT dapat menyuntik motivasi baharu kepada penduduk setempat memandangkan golongan muda menjadi penerus agenda pemeliharaan alam sekitar pada masa depan.
Sepanjang program, peserta terutama dalam kalangan mahasiswa kelihatan teruja kerana ia pengalaman pertama menyertai gotong-royong berskala besar. Ramai antara mereka menyatakan kesediaan untuk terus menyertai program seumpama itu pada masa akan datang, malah mahu mengajak rakan-rakan lain bersama.
Peserta turut menzahirkan rasa syukur kerana dapat memupuk nilai murni dalam diri melalui aktiviti memelihara kebersihan dan menghargai ciptaan Tuhan, yang disifatkan penting bagi membentuk karakter bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
PKD Petaling menyasarkan agar inisiatif One Hour Malaysia Clean Up diteruskan dan diperluas ke lebih banyak kawasan di Selangor pada tahun-tahun mendatang.
“Kami yakin budaya kebersihan yang diamalkan secara konsisten mampu mewujudkan komuniti lebih sihat, selamat dan harmoni. Inisiatif seperti ini boleh menjadi contoh kepada kawasan lain dalam usaha mengekang wabak denggi,” kata Edawaty.


