PETALING JAYA, 5 DIS: Projek pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) di Pulau Indah, Klang capai kemajuan sekitar 85 peratus setakat ini.
Pengurus Korporatnya Mohd Akmal Hafsyam Ghazali berkata pembangunan melibatkan blok asrama, surau, dewan serbaguna, perpustakaan, bilik teknologi maklumat dan kemudahan riadah.
“Kita jangka siap hujung Januari 2026 dan beroperasi pada 2027. Kita juga sedang merancang untuk pengambilan anak-anak yatim terutamanya lelaki menghuni di rumah tersebut.

“Di sana nanti, pelbagai pengisian mereka dapat, melalui program pembangunan kecemerlangan pendidikan, pembangunan kendiri dan pembangunan sahsiah,” katanya ditemui selepas program Back to School Yide, hari ini.
Sebelum ini, agensi itu memaklumkan kompleks itu direka berkonsepkan Islamik kontemporari dan boleh menampung sehingga 108 anak yatim lelaki pada satu-satu masa.
Menurut Yide inisiatif itu lahir hasil wakaf tanah seluas 3.47 ekar, daripada Central Spectrum (M) Sdn Bhd dan sokongan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) projek itu, sebelum ini.
Agensi itu turut menyeru sumbangan orang ramai bagi membantu membiayai pembinaan prasarana, pendidikan dan kebajikan anak-anak yatim ini yang boleh disalurkan melalui pautan yide.com.my/kompleks-asrama-anak-yatim-pulau-indah-tme/ atau imbas kod QR.
Maklumat akaun adalah Bank Islam (12234010018825), RHB Bank (26262500011439) dan Maybank (562106866637). Maklumat lanjut hubungi Yide di talian 0177569478 atau 0127749452.
Sebelum ini, Pengerusi Yide Tan Sri Mazlan Mansor berkata kos keseluruhan pembinaan kompleks itu dianggarkan sekitar RM17 juta.
Yide merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang bertanggungjawab mengurus dan menyelia hal ehwal kebajikan anak-anak yatim dan bantuan musibah kepada masyarakat Islam di Selangor.






