SANDAKAN, 5 DIS: Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai ditetak abangnya dalam kejadian di sebuah rumah di Bandar Karamunting di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata mangsa berusia 43 tahun ditemukan berlumuran darah di bilik tidur kediaman itu selepas ibunya menyedari pintu bilik terhalang.
“Ketika kejadian, hanya mangsa dan abangnya berada di rumah. Susulan maklumat diterima, polis menahan lelaki berusia 44 tahun, iaitu abang mangsa pada jam 8.45 malam hari sama.
“Suspek turut membawa polis menemukan seluar berlumuran darah serta tiga bilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah akibat tetakan di kepala, belakang telinga, perut serta tangan dipercayai menggunakan senjata tajam.
George berkata siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan motif kejadian.
“Maklumat awal mendapati suspek tidak bekerja serta dipercayai memiliki masalah mental dan tinggal bersama keluarga di rumah berkenaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


