PETALING JAYA, 4 DIS: Sebanyak 230 premis makanan di Petaling Jaya ditutup sepanjang tahun ini kerana tidak mematuhi piawaian ditetapkan.
Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Aznan Hassan berkata penguatkuasaan dilaksanakan hampir setiap hari bagi memberi kesedaran kepada pengendali makanan bahawa pentingnya penjagaan kebersihan.
“Kita juga berharap masyarakat boleh bantu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan sekiranya mereka tahu tempat itu telah dikenakan tindakan, tolong elak berkunjung ke situ.
“Tindakan ini sekali gus dapat memberi kesedaran kepada pengendali makanan untuk terus menjaga kebersihan,” katanya ketika ditemui media selepas Anugerah Premis Makanan dan Tandas Bersih MBPJ 2025 di Hotel Hilton, di sini hari ini.
Aznan menegaskan MBPJ juga akan mengambil tindakan tegas mulai tahun hadapan iaitu hanya premis dengan tandas bersih yang memenuhi standard minimum layak menerima kelulusan lesen perniagaan daripada PBT.
Jelasnya, garis panduan ini turut menetapkan nisbah minimum kemudahan tandas bagi premis perniagaan dan bangunan awam iaitu sekurang-kurangnya satu tandas lelaki dan dua tandas perempuan.
“Setakat ini kita cuma buat penutupan premis, selepas dua minggu sekiranya masih berterusan baharu kita ambil tindakan tegas termasuk pengusaha tidak boleh perbaharui lesen perniagaan,” katanya.



