Projek mitigasi banjir perlu diperkukuh, pastikan tahan lama - ADN Batu Tiga

23 Apr 2026, 8:21 AM
Projek mitigasi banjir perlu diperkukuh, pastikan tahan lama - ADN Batu Tiga

SHAH ALAM, 23 APRIL: Usaha menangani banjir di Selangor perlu diperkukuh dengan pendekatan lebih menyeluruh dan berkesan supaya setiap projek yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat dan mampu bertahan untuk tempoh puluhan tahun.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron berkata setiap projek penambahbaikan yang sedang dilaksanakan perlu diteliti dengan lebih terperinci, khususnya dari segi ketahanan dan keberkesanannya untuk tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Setakat ini, penyelesaian dilaksana mengurangkan titik panas kawasan risiko banjir daripada sembilan kini tinggal empat kawasan sahaja. Antara usaha dilaksana pemasangan pam air di beberapa kawasan yang menelan belanja RM1.5 juta.

“Namun, perlu ada penyelesaian dengan pendekatan menyeluruh melibatkan penyelarasan antara agensi, pihak berkuasa tempatan dan agensi teknikal. Sekiranya ada projek biarlah berbaloi untuk 20 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih ke atas Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Isnin lalu, sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sekali lagi menasihati Kerajaan Negeri supaya memberi tumpuan penuh kepada usaha menangani isu banjir melalui perancangan yang lebih rapi dan tindakan yang lebih berkesan.

Baginda sebelum ini beberapa kali menggesa Kerajaan Negeri mendapatkan pandangan serta kepakaran antarabangsa, khususnya dari Belanda, bagi merangka pendekatan terbaik dalam menangani masalah banjir yang berlarutan.

Baginda turut menekankan supaya perancangan dan tindakan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Dalam pada itu, Danial turut mencadangkan supaya setiap klinik Selcare menyediakan perkhidmatan terapi pertuturan bagi membantu kanak-kanak yang mengalami masalah literasi dan numerasi.

“Pada masa kini, masyarakat berdepan dengan masalah ini yang memerlukan kepakaran pakar. Penetapan terapi di klinik Selcare membantu kanak-kanak ini.

“Saya cadangan terapi diletakkan di semua klinik Selcare tanpa perlu menunggu kes-kes didiagnos dahulu,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.