Malayan Tigress sasar kejutan ke atas Vietnam pada aksi pembukaan Sukan SEA

4 Dis 2025, 5:22 AM
Malayan Tigress sasar kejutan ke atas Vietnam pada aksi pembukaan Sukan SEA

SHAH ALAM, 4 DIS: Skuad bola sepak wanita negara tetap optimis mencipta kejutan ke atas juara bertahan, Vietnam meskipun turun sebagai pasukan underdog pada aksi pertama Kumpulan B Sukan SEA 2025 di Stadium Chonburi, malam esok.

Vietnam hadir dengan reputasi besar selaku pemenang pingat emas empat edisi berturut-turut sejak Kuala Lumpur 2017, selain rekod 10 kali layak ke final sejak 2001, lapor Berita Harian.

Namun pengendali skuad Malayan Tigress, Joel Cornelli memilih untuk tidak terlalu memikirkan kekuatan lawan, sebaliknya memberi fokus kepada strategi yang dirangka bagi meraih keputusan positif.

Aksi persahabatan menentang Bangladesh dan Azerbaijan sebelum ini turut meyakinkan Cornelli bahawa pasukan bimbingannya memiliki kualiti untuk menyaingi lawan lebih berpengalaman.

“Paling penting adalah keyakinan. Bangladesh baru layak ke Piala Asia dan perbandingan itu memberi kami keyakinan bahawa kami juga mampu menewaskan pasukan sekelas itu,” katanya.

Cornelli berkata keputusan positif pada perlawanan pembukaan akan menjadi pemangkin semangat untuk menghadapi dua lagi aksi Kumpulan B menentang Myanmar, naib juara edisi lalu, serta Filipina.

“Kami tetap menghormati ketiga-tiga pasukan kerana mereka sering mara ke separuh akhir dan final. Namun saya yakin kami juga mempunyai peluang.

“Sejak awal saya tekankan bahawa kami perlu membina mentaliti juara. Walaupun keputusan sebelum ini kurang baik, pemain kini sudah menunjukkan peningkatan,” katanya.