SHAH ALAM, 4 DIS: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) menegaskan agensi itu tidak pernah melantik mana-mana individu, ejen atau wakil pihak ketiga untuk menguruskan sebarang urusan berkaitan pembiayaan di bawah program mereka.
Agensi itu mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap taktik penipuan atau individu yang menyamar sebagai wakil Hijrah Selangor.
"Sentiasa berwaspada dengan sebarang taktik penipuan atau scammer yang menyamar sebagai wakil Hijrah Selangor dengan meminta anda untuk berkongsi maklumat peribadi anda," katanya dalam kenyataan.
Orang ramai yang menerima panggilan mencurigakan atau berdepan aktiviti meragukan dinasihatkan supaya segera menghubungi Khidmat Pelanggan Hijrah Selangor.
"Hubungi kami melalui WhatsApp di 016-9121692 atau emel ke cs@hijrahselangor.com untuk membuat laporan atau mendapatkan pengesahan lanjut," katanya.

Hijrah Selangor merupakan instrumen strategik Kerajaan Negeri bagi memperkukuh ekonomi rakyat melalui pembiayaan mikro, selain memacu ekosistem keusahawanan digital yang inklusif dan mampan.
Di bawah naungan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), agensi ini turut menyokong aspirasi RS-1 dan agenda ekonomi MADANI melalui pembangunan kapasiti usahawan serta usaha mengurangkan jurang pendapatan.
Sejak 2015, Hijrah Selangor telah menyalurkan lebih RM880 juta pembiayaan melibatkan 92,000 pinjaman kepada lebih 61,000 usahawan.
Menjelang 2028, agensi itu menyasarkan RM1.1 bilion pembiayaan terkumpul dan perluasan akses pembiayaan digital kepada lebih 260,000 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam sektor berimpak tinggi seperti digital, agriteknologi, pelancongan dan industri halal.


