SEPANG, 3 DIS: Penduduk Kampung Ginching, Salak Tinggi menyifatkan kejadian banjir baru-baru ini paling buruk sejak 2021 hingga membawa pelbagai kerosakan perabot dan alatan rumah.
Mangsa banjir Norazli Ali, 50, berkata kejadian kali ini adalah paling besar pernah dialaminya apabila air naik sehingga paras bahu, menyebabkan hampir semua perabot dan ruang dapur rosak teruk.
“Rumah sangat kotor. Kami dekat dengan kawasan ban pecah, sebab itu air naik tinggi dan bawa lumpur serta pasir,” katanya.

Beliau berkata kehadiran Team Selangor sangat membantu berikutan keadaan rumah yang memerlukan tenaga kerja ramai untuk dibersihkan.
“Sukarelawan banyak tolong dan ia dapat kurangkan kos. Ringan sikit beban yang saya tanggung,” tambahnya.
Mangsa lain, Yatini Harjo, 52, menyifatkan banjir kali ini sangat meletihkan apabila air naik ke paras tingkap rumah, menyebabkan hampir semua peralatan rumah seperti peti sejuk dan mesin basuh musnah.
“Memang penat. Tiada apa selamat. Kami terpaksa tinggal di hotel selama dua hari,” kongsinya.

Tinggal berdua bersama anak, Yatini mengakui mereka tidak mampu melakukan kerja pembersihan sendiri kerana ketiadaan tenaga.
“Syukur Alhamdulillah Team Selangor datang bantu. Kalau berdua saja memang tak larat nak bersihkan semua,” ujarnya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Kerajaan Negeri menyelaras persediaan pascabah termasuk menyusun 5,000 sukarelawan yang digerakkan sebaik air surut bagi membersihkan rumah penduduk terjejas.







