Majikan dituntut proaktif lindungi kebajikan pekerja, sokong golongan rentan

3 Dis 2025, 11:03 AM
Majikan dituntut proaktif lindungi kebajikan pekerja, sokong golongan rentan
Majikan dituntut proaktif lindungi kebajikan pekerja, sokong golongan rentan

SHAH ALAM, 3 DIS: Majikan disaran memainkan peranan lebih proaktif dalam melindungi kebajikan pekerja bagi memastikan produktiviti syarikat berjalan lancar sekali gus menyumbang kepada kestabilan sosial dan ekonomi.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata komitmen majikan terhadap kesejahteraan tenaga kerja juga penting dalam mewujudkan budaya pekerjaan lebih selamat, inklusif serta seimbang.

“Berharap agar lebih ramai majikan dapat melaksanakan peranan mereka dengan lebih proaktif dan efektif dalam membina budaya kerja yang selamat, inklusif dan produktif.

“Majikan juga memainkan peranan penting terhadap kestabilan sosial dengan memberikan peluang pekerjaan yang sama terhadap golongan rentan,” katanya.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berucap ketika program Seminar Pembangunan Majikan di Pejabat Perkeso, Klang pada 3 Disember 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Program Seminar Pembangunan Majikan 2025 di Dewan Seminar Perkeso Klang, hari ini yang membabitkan penyertaan 61 peserta mewakili pelbagai syarikat perniagaan.

Program bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari itu merangkumi tiga slot utama yang memberi penerangan mengenai MYFutureJobs, Daya Kerjaya 3.0, Dasar Gaji Progresif serta inisiatif Lindung Kendiri dan Lindung Kasih.

Papparaidu berkata pemberian peluang pekerjaan kepada kumpulan rentan seperti Orang Kurang Upaya (OKU), bekas banduan dan individu di bawah pemulihan mampu menyumbang kepada kemakmuran sosial jangka panjang serta pembangunan negeri.

Beliau turut mengajak majikan mengaplikasikan ilmu yang diperoleh menerusi program berkenaan ke dalam organisasi masing-masing bagi membina rangkaian baharu dan mewujudkan persekitaran kerja lebih baik.