GUA MUSANG, 3 DIS: Lelaki berusia 19 tahun nyaris maut apabila kereta Proton Satria Neo dipandunya terjatuh ke dalam gaung akibat tanah runtuh di Kilometer 45 Jalan Gua Musang–Lojing awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju Pasir Puteh.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tidak sempat mengelak runtuhan tanah yang menutupi jalan menyebabkan kenderaannya hilang kawalan sebelum terjunam ke gaung.
“Mangsa mengalami kecederaan patah tangan kiri dan dibawa ke Klinik Kesihatan Pos Brooke untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Dalam masa sama, Choon Foo menasihatkan orang ramai supaya mematuhi penutupan jalan yang diisytiharkan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengelakkan risiko kemalangan.
“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap individu yang ingkar arahan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi IPD Gua Musang di talian 09-9121222 atau 013-3010408 bagi membantu siasatan.



