SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan mengumumkan operasi pencarian laut dalam bagi mengesan bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 akan disambung semula bermula 30 Disember ini.
Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan syarikat Ocean Infinity telah mengesahkan kepada kerajaan bahawa mereka akan memulakan semula operasi pencarian dasar laut selama 55 hari, yang akan dijalankan secara berselang.
Pencarian itu akan memberi tumpuan kepada kawasan sasaran yang dikenal pasti mempunyai kebarangkalian tertinggi untuk menemukan pesawat berkenaan, selaras dengan perjanjian perkhidmatan yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Ocean Infinity pada 25 Mac 2025.
"Perkembangan terbaharu ini menzahirkan komitmen berterusan kerajaan dalam usaha mencari penamat kepada tragedi yang menimpa pesawat MH370 serta memberikan penutupan kepada keluarga mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pesawat MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pagi yang sama, namun gagal dikesan selepas membuat pesongan daripada laluan asal sebelum terputus hubungan sepenuhnya.
Sejak kehilangan tersebut, beberapa siri operasi pencarian laut dalam telah dijalankan oleh Malaysia bersama beberapa negara lain, menjadikannya antara misi pencarian terbesar dan paling kompleks dalam sejarah penerbangan dunia.
Walaupun serpihan dipercayai milik MH370 didakwa ditemui di beberapa lokasi di Lautan Hindi, lokasi bangkai pesawat masih belum dapat dipastikan.
Kehilangan pesawat itu terus dianggap antara misteri penerbangan paling besar dalam sejarah moden, dan usaha pencarian yang bersambung semula ini dilihat sebagai langkah penting dalam mencari jawapan serta memberi penutupan kepada keluarga mangsa.



