SHAH ALAM, 15 DIS: Masyarakat hari ini semakin terdedah kepada trauma kolektif, iaitu keadaan apabila seluruh komuniti turut mengalami tekanan emosi walaupun tidak berada di lokasi kejadian.
Fenomena ini semakin ketara berlaku susulan beberapa insiden dalam tempoh singkat, termasuk kes tikam pelajar, kehilangan tragis dan kemalangan ngeri yang menggemparkan negara.
Pengerusi Persatuan Pegawai Psikologi Perkhidmatan Awam, Dr Raja Kamariah Raja Mohd Khalid berkata, media sosial menjadikan tragedi jauh seolah-olah berlaku di depan mata.
“Walaupun tempat itu jauh, ia boleh rasa dekat kerana situasi yang berlaku ada di persekitaran kita.
"Otak mula memproses ‘kalau berlaku pada saya atau anak saya bagaimana?’. Di sinilah trauma kolektif bermula,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Beliau menegaskan trauma kolektif bukan sahaja menimpa mangsa dan keluarga, sebaliknya masyarakat umum juga boleh terkesan tanpa disedari.
“Kes (pesawat) MH17 dan MH370 contohnya, ramai yang tidak terlibat pun berasa takut menaiki kapal terbang. Itu bukti bagaimana komuniti boleh mengalami trauma bersama,” jelasnya.
Trauma seperti ini, katanya, sering berlaku dalam diam dan hanya dikesan melalui perubahan tingkah laku.
Kanak-kanak paling terkesan, kehilangan bantal busuk pun beri kesan mendalam
Menurut Raja Kamariah, kanak-kanak memproses emosi secara berbeza dan lazimnya tidak mampu meluahkan perasaan dengan kata-kata, menyebabkan tingkah laku menjadi saluran utama mereka.
Beliau berkata, kehilangan objek kecil seperti bantal busuk juga boleh meninggalkan kesan mendalam.

“Memori, bau dan tekstur bantal itu melekat dalam jiwa mereka. Kalau kita ganti dengan bantal baru, ia tidak semudah itu. Jika dipisahkan secara tiba-tiba, ia boleh mencetuskan trauma,” katanya.
Trauma yang tidak dirawat, katanya, boleh membawa kesan jangka panjang sehingga dewasa.
“Kita tak nampak sekarang, tetapi apabila dewasa nanti boleh berlaku isu gangguan keterikatan (detach attachment) dan tingkah laku terlalu bergantung (clingy behavior),” katanya.
Beliau turut menjelaskan sesetengah kanak-kanak melalui fasa penafian (denial) apabila kehilangan rakan atau orang tersayang, malah ada yang mencipta “rakan khayalan” sebagai mekanisme bertahan.
Dua minggu cukup untuk kesan tanda trauma, jangan pandang ringan
Raja Kamariah menegaskan dua minggu merupakan tempoh kritikal untuk menilai sama ada seseorang itu mengalami trauma yang memerlukan rawatan profesional.
“Sekiranya simptom berterusan lebih dua minggu, kita sarankan jumpa pakar. Jika tidak dirawat awal, trauma itu akan menjadi sangat halus, sukar dikesan dan akhirnya boleh membentuk trauma budaya,” katanya.
Trauma budaya, jelas beliau, berlaku apabila simptom trauma dianggap normal dan dikaitkan dengan faktor lain.
“Kita kata tak boleh tidur sebab minum kopi, bukan sebab trauma. Lama-lama masyarakat normalisasi trauma. Ini yang berbahaya,” katanya.

Beliau menegaskan intervensi awal boleh mengurangkan kesan trauma sehingga empat kali ganda.
“Menurut kajian, jika tiada intervensi awal, trauma boleh menjadi dua hingga empat kali ganda lebih teruk dan membentuk personaliti seseorang,” katanya.
Jelas beliau, antara tanda awal trauma yang perlu diberi perhatian termasuk perubahan tingkah laku dan emosi yang muncul secara berterusan.
“Kanak-kanak mungkin sukar tidur atau mengalami mimpi buruk, menjadi terlalu waspada (hypervigilant), serta mengalami imbas kembali (flashback) yang datang tanpa amaran.
“Ada juga yang enggan ke sekolah, menunjukkan tingkah laku agresif, atau mengalami simptom fizikal seperti sakit kepala, loya dan kencing malam,” katanya.
Raja Kamariah berkata, kesemua simptom ini adalah luahan trauma yang tidak mampu diterangkan oleh kanak-kanak melalui kata-kata.
Tegasnya, pertolongan cemas psikologi (psychological first aid) memainkan peranan penting dalam proses pemulihan, tetapi perkara paling asas ialah memberi ruang kepada anak untuk meluah perasaan.
“Paling penting ialah meluangkan masa mendengar. Ibu bapa perlu menjadi ‘mini psychologist’ di rumah, memahami emosi anak dan mengesahkan apa yang mereka rasa,” katanya.




