Mais hasilkan 46 kajian perkukuh dasar, tingkat kesejahteraan ummah

2 Dis 2025, 7:44 AM
Mais hasilkan 46 kajian perkukuh dasar, tingkat kesejahteraan ummah

HULU LANGAT, 2 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menerbitkan 46 kajian penyelidikan berkaitan hal ehwal Islam sejak 2019 sebagai langkah memperkukuh dasar serta meningkatkan kesejahteraan ummah di negeri ini.

Setiausahanya Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata penyelidikan tersebut merangkumi pelbagai bidang dengan fokus utama kepada aspek sosial dan ekonomi masyarakat Islam di Selangor.

“Kesemua kajian ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan 11 universiti utama termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Hasil penyelidikan yang siap akan dimanfaatkan untuk menambah baik dasar sedia ada selain menjadi asas kepada penggubalan fatwa baharu,” katanya ketika merasmikan Simposium Penyelidikan Islam Selangor di Auditorium Mohd Adanan Isman, Universiti Islam Selangor (UIS), hari ini.

Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Mohd Sabirin Mohd Sarbini (tengah) menyampaikan sumbangan Geran Penyelidikan Mais kepada Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Islam Selangor (UIS) Dr Abdul Razif Zaini pada Simposium Penyelidikan Islam Selangor di Auditorium Mohd Adanan Isman, UIS, Hulu Langat pada 2 Disember 2025. Foto FITRI HAZIM HAZAM/MEDIA SELANGOR

Mohd Sabirin berkata penganjuran simposium berkenaan juga menjadi medan berkongsi dapatan penyelidikan, seterusnya memberi kefahaman dan maklumat terkini kepada peserta serta pihak berkepentingan.

Antara pembentangan menarik pada program tersebut ialah Amalan Kebertanggungjawaban Penerima Manfaat Meningkatkan Prestasi Sosial Organisasi Bukan Berasaskan Untung: Bukti dari Malaysia oleh Pengarah Pembangunan Sosial Mais Dr Norraini Nordin.

Selain itu, Ketua Bahagian Dakwah dan Pemasaran Mohammad Salleh Abdul Saha membentangkan Kaedah Penebusan Pusaka Muslim Mesra Pengguna di Mais.

Pada masa sama, Mohd Sabirin memaklumkan Mais menyalurkan geran penyelidikan RM120,000 kepada UIS dan melantik universiti itu sebagai panel penyelidik rasmi agensi berkenaan.

“Mais turut melantik lima penyelidik sebagai Ahli Jawatankuasa Pemandu Penilaian Penyelidik Mais bagi membantu menangani pelbagai isu sosial dan ekonomi masyarakat Islam di negeri ini,” katanya.

Lima penyelidik yang dilantik ialah:

  • Prof Madya TPr Dr Lukman Hakim Mahamod (UIAM)

  • Prof Madya Dr Suhaili Sarif (UM)

  • Prof Ts Dr Mardeni Roslee (MMU)

  • Prof Madya Dr Mohd Mursyid Arshad (UPM)

  • Prof Madya Dr Ahmad Najaa’ Mokhtar (USIM)