Polis Selangor serbu stor vape dadah ketamin, tiga lelaki tempatan dicekup

2 Dis 2025, 6:16 AM
Polis Selangor serbu stor vape dadah ketamin, tiga lelaki tempatan dicekup
Polis Selangor serbu stor vape dadah ketamin, tiga lelaki tempatan dicekup

SHAH ALAM, 2 DIS: Polis Selangor menumpaskan kegiatan pembungkusan vape dicampur dadah ketamin dalam serbuan di sebuah stor sekitar Klang, dengan rampasan mencecah RM3.04 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata tiga lelaki tempatan ditahan dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor pada 27 November.

“Rampasan melibatkan 2,068 katrij, 550 pod dan 240 botol cecair vape seberat 61 liter.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. Foto Facebook Polis Selangor

"Cecair ini dianggarkan mampu dibekalkan kepada 12,200 pengguna dalam sehari,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Polis turut menyita tiga kenderaan dan lima barang kemas bernilai RM134,800 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kejayaan berasingan, Shazeli berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor (JSJK) menumpaskan dua sindiket penipuan dalam talian di Monet Garden, Sunsuria City pada 26 November.

Serbuan pertama menahan 14 warga asing yang menjalankan penipuan cabutan bertuah aplikasi QQ (Jin Chan), manakala serbuan susulan menahan 10 lagi warga asing yang terbabit penipuan pelaburan forex melalui aplikasi TongHuaSun dan Telegram.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menunjukkan barang rampasan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. Foto Facebook Polis Selangor

Kedua-dua sindiket dipercayai aktif sejak Oktober dan menyasarkan warganegara China. Rampasan berjumlah RM60,000 meliputi telefon bimbit, komputer dan router.

Semua suspek direman tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan serta semakan imigresen berkaitan kemasukan melalui KLIA.