Cemburu punca suami tikam isteri ketiga hingga maut

2 Dis 2025, 3:39 AM
Cemburu punca suami tikam isteri ketiga hingga maut

SHAH ALAM, 2 DIS: Polis mengesahkan kejadian wanita maut ditikam suaminya di Kampung Paku, Gual Ipoh, Tanah Merah semalam berpunca daripada cemburu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan setakat ini menunjukkan suspek bertindak demikian kerana mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

“Suspek dalam keadaan yang marah terlampau sehingga menikam isterinya. Kita boleh kata kejadian ini bermotifkan cemburu dan suspek mengesyaki isterinya ada lelaki lain.

“Ujian air kencing negatif dadah dan suspek seorang penganggur. Suspek juga seorang yang normal dan tidak mempunyai masalah mental,” katanya seperti dilapor BH.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam, mangsa Mastura Abdullah, 40, yang merupakan isteri ketiga suspek, ditikam sekali di bahagian badan sehingga menyebabkan kecederaan parah dan meninggal dunia di rumah mereka.

Pasangan itu telah mendirikan rumah tangga sejak 14 tahun lalu.

Mohd Yusoff berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan kes tersebut.