Musim hujan & kesihatan: Penyakit yang perlu diberi perhatian sewaktu dan selepas banjir

2 Dis 2025, 2:40 AM
Musim hujan & kesihatan: Penyakit yang perlu diberi perhatian sewaktu dan selepas banjir

SHAH ALAM, 2 DIS: Malaysia kini kembali memasuki musim hujan, membawa bersama cuaca yang lembap, hujan tidak menentu dan ribut petir yang kerap.

Walaupun keadaan ini sudah menjadi kebiasaan, ia tetap menimbulkan pelbagai risiko kesihatan yang bukan sahaja ketika hujan lebat, tetapi juga sewaktu dan selepas berlakunya banjir.

Dalam tempoh ini, beberapa penyakit berjangkit cenderung meningkat dan memerlukan labih perhatian dalam kalangan masyarakat.

Menurut Pakar Pediatrik & Neonatologi di Avisena Women’s & Children’s Specialist Hospital Shah Alam, Dr Vidya Theivanayagi Natthondan, cuaca tidak stabil sering dikaitkan dengan peningkatan kes demam, cirit-birit, jangkitan kulit, masalah pernafasan serta demam denggi.

Lima risiko penyakit yang kerap berlaku semasa dan selepas banjir. Foto Avisena

Gejala ringan seperti batuk atau muntah tidak seharusnya dipandang remeh, kerana tanpa rawatan awal ia boleh berkembang menjadi masalah kesihatan yang lebih serius.

Ketika banjir berlaku, pencemaran air menjadi faktor utama yang menyebabkan jangkitan bawaan air seperti gastroenteritis, leptospirosis (kencing tikus), dan jangkitan kulit seperti selulit atau kurap air.

Air banjir selalunya bercampur dengan sisa kumbahan, sampah dan haiwan mati, menjadikannya medium penyebaran bakteria dan virus.

Selepas banjir pula, air bertakung yang tidak dibersihkan dengan sempurna boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, meningkatkan risiko demam denggi dan chikungunya.

Selain itu, kelembapan tinggi semasa musim hujan memudahkan penyebaran jangkitan pernafasan seperti influenza, bronkiolitis, dan pneumonia.

Dalam kalangan bayi, penularan Respiratory Syncytial Virus (RSV) menjadi kebimbangan utama.

Dr Vidya menegaskan bahawa jangkitan RSV boleh menjadi sangat serius, terutama bagi bayi berusia bawah enam bulan.

Ibu mengandung disarankan mempertimbangkan vaksin RSV bagi memberikan perlindungan awal kepada bayi melalui antibodi yang dipindahkan daripada ibu.

Sekiranya timbul gejala, segera dapatkan rawatan di hospital untuk pemeriksaan lanjut. Foto Avisena

Mengetahui tanda-tanda awal penyakit adalah langkah penting untuk mengelakkan komplikasi.

Dapatkan pemeriksaan perubatan sekiranya ahli keluarga mengalami simptom seperti demam berpanjangan, muntah atau cirit-birit, ruam atau iritasi kulit, batuk berlarutan, sesak nafas, atau kelesuan yang luar biasa.

Rawatan awal amat penting, terutamanya selepas terdedah kepada air banjir atau persekitaran lembap yang tidak bersih.

Sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan swasta yang komited, Avisena Healthcare terus mengambil langkah aktif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko kesihatan pada musim hujan dan pasca banjir.

Pasukan perubatan kami sentiasa bersedia untuk memberikan rawatan yang pantas, selamat dan berkesan—terutamanya kepada bayi, kanak-kanak serta warga emas yang lebih mudah terjejas ketika perubahan cuaca.

Bagi mereka yang memerlukan pemeriksaan, rawatan lanjut atau nasihat perubatan, kunjungi fasiliti Avisena di Shah Alam dan Avisena Women’s & Children’s Specialist Hospital di Shah Alam bagi mendapatkan penilaian awal dan rawatan menyeluruh.

Pencegahan awal mampu menyelamatkan nyawa.

Maklumat lanjut boleh didapati di shahalam.avisena.com.my dan womenandchildren.avisena.com.my.