SHAH ALAM, 2 DIS: Insiden gempa bumi bermagnitud 4.1 yang melanda Segamat pada 24 Ogos lalu bukan sekadar gegaran singkat, sebaliknya menjadi peringatan bahawa Semenanjung Malaysia turut berdepan risiko aktiviti seismik tempatan.
Susulan kejadian itu, kerajaan melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sedang memperkukuh rangkaian pemantauan gempa bumi negara secara menyeluruh, dengan Johor menjadi tumpuan utama usaha tersebut.
Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kerajaan sedang melaksanakan Projek Pemerkasaan Perkhidmatan Gempa Bumi dan Tsunami Fasa 2 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 Rolling Plan 1.
Menurutnya, melalui projek ini, sebanyak 12 stesen seismik di seluruh negara diperkukuh bagi memastikan setiap gegaran, termasuk yang berskala kecil, dapat dikesan dengan lebih tepat dan pantas.
“Segamat kini menjadi lokasi strategik dalam usaha meningkatkan kesiapsiagaan gempa bumi di Semenanjung. Justeru, kerajaan akan membina dua stesen seismik baharu di daerah itu dan di Muar.
“Langkah ini bertujuan menambah keupayaan sistem negara mengesan gempa bumi lemah di kawasan setempat, sesuatu yang semakin penting selepas insiden Ogos lalu yang mengejutkan penduduk Johor,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Johari berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Yuneswaran Ramaraj (Segamat–PH) berhubung strategi kerajaan membina stesen seismik di Segamat bagi memperkukuh pemantauan gempa bumi susulan gegaran yang berlaku di daerah itu.
Menurut beliau, selain pembinaan baharu, empat stesen seismik sedia ada di Johor turut dinaik taraf daripada jenis Strong Motion kepada Weak Motion, sekali gus membolehkan gegaran halus direkodkan dengan lebih sensitif.
Tegasnya, langkah ini penting untuk membantu pakar memahami pola aktiviti seismik yang sebelum ini mungkin tidak dapat dikesan.
“METMalaysia juga sedang meningkatkan keupayaan sistem pengesanan dan pemprosesan data SeisComP, dengan penekanan khusus kepada modul pengesanan gempa bumi tempatan.
“Melalui teknologi baharu ini, gegaran kecil dapat dikesan dalam tempoh lebih singkat dan maklumat penting boleh disalurkan kepada agensi keselamatan dengan segera,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan kerajaan menyelaras penyelidikan saintifik dan penilaian risiko gegaran bersama pelbagai agensi teknikal bagi memahami dengan lebih mendalam corak gegaran tempatan.
Katanya, semua inisiatif tersebut menunjukkan komitmen kerajaan memastikan sistem pemantauan gempa bumi negara sentiasa berada pada tahap terbaik demi keselamatan rakyat.


