Warga emas ditemui mati, disyaki dibunuh guna cangkul

1 Dis 2025, 12:01 AM
Warga emas ditemui mati, disyaki dibunuh guna cangkul

SHAH ALAM, 1 DIS: Mayat seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun ditemui dipercayai dibunuh menggunakan cangkul dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Koh, Manjung kelmarin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman, berkata laporan laporan kejadian dibuat ahli keluarga mangsa berusia 78 tahun itu pada jam 1.30 tengah hari kelmarin.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dijumpai dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di ruang tamu rumah serta terdapat kecederaan di kepala dan muka mangsa, lapor Berita Harian.

"Polis turut menjumpai sebatang cangkul yang terdapat kesan darah disyaki senjata yang digunakan oleh suspek.

"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat. Punca kematian disebabkan pelbagai kecederaan tumpul dan tajam pada bahagian kepala," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 dan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886222 atau 'hotline' WhatsApp di talian 017-6828005 bagi membantu siasatan polis," katanya.