SHAH ALAM, 1 DIS: Sektor aeroangkasa dijangka terus menjadi antara pemacu pelaburan terpenting Selangor tahun depan, disokong permintaan global yang meningkat serta ekosistem berkemahiran tinggi yang semakin berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata aktiviti aerongkasa ermasuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan komponen serta perkhidmatan kejuruteraan khusus kekal sebagai penyumbang utama kepada aliran pelaburan di Selangor.
“Sektor aeroangkasa terus menjadi penyumbang pertumbuhan utama berikutan permintaan global terhadap produk dan perkhidmatan aeroangkasa yang semakin meningkat,” katanya kepada Media Selangor baru-baru ini.
Selain aeroangkasa, Hasan berkata pelaburan masa depan negeri dijangka dipacu oleh pembuatan berteknologi tinggi, khususnya elektrik dan elektronik (E&E), jentera, peralatan pengangkutan serta teknologi pembuatan pintar.
Sektor-sektor ini dijangka meraih manfaat daripada insentif berfokuskan Industri 4.0, seperti pengecualian bagi automasi, robotik dan teknologi (ART).

“Industri bernilai tinggi ini selari dengan tumpuan Selangor untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang berasaskan teknologi dan berintensifkan pengetahuan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” katanya.
Hasan menambah insentif tersebut akan mempercepat peralihan ke arah keupayaan Industri 4.0.
Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 pada 14 November lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri telah merangka beberapa usaha bagi menarik pelaburan, memperkukuh keyakinan pelabur, merangsang pembangunan wilayah dan meluaskan akses pasaran global untuk perniagaan tempatan.
Peruntukan RM15 juta itu menyokong inisiatif pelaburan utama termasuk Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS), Program Soft Landing Selangor, Selangor Lab Partnership dan inisiatif baharu, SME-Investors Linkages.
Menjana pulangan lebih kukuh
Dalam menghadapi persaingan sengit daripada negeri jiran dan pasaran serantau, Hasan berkata Selangor merancang memperkukuh keterlihatan global melalui misi pelaburan lebih tersasar, kerjasama strategik serta penyertaan dalam acara perdagangan dan perniagaan berimpak tinggi.
Kerajaan negeri turut memperdalam kerjasama dengan negeri-negeri jiran dan agensi Persekutuan melalui inisiatif promosi bersama.
“Ini termasuk misi terkoordinasi, kempen promosi bersama serta usaha libat urus pelabur secara bersepadu yang menonjolkan rantau ini sebagai koridor pelaburan yang bersepadu dan menarik,” katanya.
Hasan berkata Selangor juga meningkatkan fasilitasi melalui Inisiatif Speed Selangor yang bertujuan memendekkan proses permohonan dan kelulusan perniagaan daripada tempoh tiga bulan kepada serendah 14 hari, menegaskan bahawa fasilitasi pantas amat penting dalam mengekalkan keyakinan pelabur.
Dilancarkan pada 8 Oktober lalu, Speed Selangor diperkenalkan untuk mempercepat dan memperkemas proses pembangunan serta kelulusan perniagaan. Ketika ini, ia memberi keutamaan kepada projek seperti kilang, gudang, kemudahan logistik, hospital swasta, universiti dan bangunan komersial berasingan.
Mengukuhkan kedudukan teratas
Kerajaan negeri menumpukan usaha memperkukuh kluster industri, menaik taraf infrastruktur dan memperluas program bakat sebagai sebahagian strategi pelaburan jangka panjangnya.
Ini termasuk sokongan kepada sektor berteknologi tinggi, penambahbaikan rangkaian pengangkutan serta inisiatif meningkatkan kesiapsiagaan tenaga kerja terhadap automasi, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan termaju.
Gabungan asas industri kukuh, insentif bagi teknologi digital dan automasi serta pembangunan sektor berkemahiran tinggi meletakkan Selangor untuk terus kekal sebagai destinasi pelaburan utama Malaysia.
“Selangor merancang mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan nombor satu Malaysia dengan memperkukuh keterlihatan global serta daya saing ekosistem perniagaannya,” kata Hasan.
Belanjawan Selangor 2026 berjumlah RM3.23 bilion bertema ‘Selangor Juara, Rakyat Sejahtera’.
Daripada jumlah itu, 57.6 peratus atau RM1.86 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, manakala 42.4 peratus atau RM1.37 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Berdasarkan jangkaan hasil kerajaan negeri sebanyak RM2.8 bilion pada 2026 serta anggaran perbelanjaan RM3.23 bilion, Amirudin berkata belanjawan berkenaan mengunjurkan defisit sebanyak RM430 juta.




