KUALA LUMPUR, 31 OKT: Polis menahan 18 warga Taiwan disyaki terbabit sindiket penipuan dalam talian dengan menyamar sebagai polis dari Hong Kong dalam serbuan di dua unit apartmen mewah di ibu negara pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Ahmad Azwan Amin Nordin berkata 17 lelaki dan seorang wanita berusia 19 hingga 43 tahun ditahan dalam serbuan pada jam 6.35 petang itu.
“Polis merampas 69 telefon bimbit, lima komputer riba dan dua baju seragam polis Hong Kong.
“Berdasarkan barang kes yang ditemukan, sindiket ini disyaki terbabit dalam aktiviti penipuan dengan menyamar sebagai anggota polis Hong Kong dan menyasarkan mangsa dari negara berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Azwan berkata siasatan awal mendapati sindiket itu menggunakan capaian internet tempatan dan dipercayai telah beroperasi kira-kira lima bulan.
“Semua suspek direman empat hari hingga 2 November ini bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi menerusi talian 03-2600 2222 atau balai polis berhampiran,” katanya.







