Banjir: Selangor bekukan cuti pegawai, anggota PBT hingga 15 Disember

29 Nov 2025, 10:48 AM
Banjir: Selangor bekukan cuti pegawai, anggota PBT hingga 15 Disember

SHAH ALAM, 29 NOV: Cuti pegawai negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan di Selangor dibekukan sehingga 15 Disember ini bagi mengukuhkan kesiapsiagaan berdepan banjir, kata Dato' Menteri Besar.

Dalam kenyataan petang ini, Dato' Seri Amirudin Shari memaklumkan keputusan tersebut dibuat berikutan keadaan cuaca tidak menentu yang mampu berubah dengan pantas.

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut menyelaras persediaan pascabah, termasuk menyusun 5,000 sukarelawan yang akan digerakkan sebaik air surut bagi membersihkan rumah penduduk terjejas.

"Saya mengucapkan terima kasih atas usaha dan komitmen agensi terlibat yang bekerja tanpa henti dalam tempoh seminggu ini yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai daerah," katanya.

Agensi terlibat termasuk Unit Pengurusan Bencana Negeri, Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan

Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Turut serta polis, pasukan sukarelawan, serta ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap penduduk yang terkesan akibat banjir dapat dibantu.

Setakat 3 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat kepada 4,458 orang daripada 1,224 keluarga berbanding 4,366 mangsa daripada 1,208 keluarga pada tengah hari.