Mangsa bah diminta daftar di PPS, mudahkan urusan terima bantuan - EXCO

29 Nov 2025, 6:03 AM
Mangsa bah diminta daftar di PPS, mudahkan urusan terima bantuan - EXCO

SHAH ALAM, 29 NOV: Semua mangsa banjir dinasihatkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan mereka layak menerima bantuan berjumlah RM1,500, kata EXCO pengurusan bencana.

Najwan Halimi berkata langkah itu perlu memandangkan ketetapan bantuan negeri berjumlah RM500 serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebanyak RM1,000 hanya kepada mangsa berdaftar sahaja.

“Syaratnya kena berdaftar dan berlindung di PPS.  Ada sesetengah mangsa berlindung di rumah saudara, kawan-kawan..jadi susah untuk kesan dan hulur bantuan. Biasanya yang berdaftar di PPS, kita ada data dan mudahkan urusan  bantuan.

“Bagaimanapun jika ada keperluan mendesak kepada mangsa yang tidak tinggal di PPS, kita akan teliti. Kita cuba cari jalan untuk bantu sebaiknya. Cuma lebih elok kalau semua mangsa daftar di PPS,” katanya ditemui selepas merasmikan Ekspo Usahawan Selangor 2025 hari ini.

Dalam pada itu, Najwan berkata cuti pegawai atasan khususnya ketua jabatan, pegawai daerah dan yang dipertua pihak berkuasa tempatan dibeku sehingga 15 Disember bagi memastikan pelarasan berdepan situasi banjir ketika ini.

“Kita bimbang sekiranya berlaku kecemasan. Kita mahu mereka ada supaya mudah urusan sebab itu kita ambil tindakan yang bersifat persiapan. Kita mahu urusan pelarasan semua mangsa mudah.

“Kerajaan negeri terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa. Beberapa EXCO juga turun padang hari ini memantau dan turun ke PPS bagi menyantuni mangsa banjir,” katanya.

Berhubung kerja pascabah, wakil rakyat Kota Anggerik itu berkata ahli  Team Selangor dan Pasukan Sukarelawan Selangor (SERVE) sudah digerakkan bagi menjalan kerja pembersihan.

Bagaimanapun, pasukan ini hanya menumpukan bangunan dan fasiliti awal seperti masjid, surau dan dewan orang ramai. 

“Untuk rumah penduduk, kita perlu mengambil kira-kira pelbagai faktor kadang-kadang penduduk tidak selesa dengan penglibatan sukarelawan luar jadi kita tumpukan peranan dan fungsi mereka kepada pembersihan kemudahan-kemudahan awam,” katanya.

 Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di Selangor terus meningkat kepada 4,416 mangsa melibatkan 1,225 ditempatkan di 33 PPS.

Ia melibatkan 14 PPS di Kuala Selangor, Sepang (9), Kuala Langat (5), Sabak Bernam (3) dan Klang (2).