SHAH ALAM, 28 NOV: Situasi banjir di beberapa kawasan sekitar Sepang dan Banting terkawal, dengan pasukan bomba terus menjalankan rondaan serta pemantauan rapi secara berterusan.
Penyelia Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sepang, Nazirul Akmal A. Rahman berkata beberapa mangsa yang terjejas banjir berjaya dibawa keluar dan diserahkan kepada pasukan perubatan.
“Di Kampung Chincang, Sepang, tiga mangsa terjejas terdiri daripada dua warga emas dan seorang lelaki berusia 42 tahun yang mengalami serangan jantung ketika air mulai naik. Kita serahkan kepada ambulans KKM Sungai Pelek untuk dibawa ke hospital.
“Dua lagi mangsa dihantar ke rumah saudara-mara di kawasan lebih tinggi kerana keluarga tidak mahu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) memandangkan banjir dijangka tidak berlarutan,” katanya kepada Media Selangor.

Nazirul berkata meskipun hujan telah berhenti namun pasukannya kekal berwaspada susulan kemungkinan hujan lebat dan fenomena air pasang pada lewat malam.
“Kawasan panas lain seperti Kampung Sungai Keroh Batu 1 dan Kampung Batu 2 turut dipantau setiap dua jam,” ujarnya.
Sementara itu di Salak Tinggi, paras air yang mencecah sehingga empat kaki di beberapa lokasi kini menunjukkan trend penurunan.
“Air di dua kawasan iaitu di Sungai Pinang Sebatang dan Pasar Awam Salak Tinggi telah surut,” kata Ketua BBP KLIA, Razif Mohmad Haris.

Beliau berkata, seramai 38 mangsa telah dipindahkan ke PPS, termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) obesiti yang dibawa menggunakan lori Hicom.
“Hujan berhenti sepenuhnya sekitar jam 3.30 petang dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengatur gerak pasukan sekiranya keadaan kembali buruk. Pasukan gerak cepat sedia dikerahkan pada bila-bila masa mengikut situasi semasa,” katanya.
Di Banting, keadaan turut terkawal selepas hujan berhenti, namun banjir berpotensi berulang sekiranya hujan turun lagi malam ini.
Ketua BBP Banting, C. Arul Chselvan memaklumkan beberapa kampung dinaiki air akibat hujan petang tadi, melibatkan antara 10 hingga 12 keluarga.
“Ada kampung yang airnya sekadar setakat buku lali. Penduduk diminta berpindah jika perlu, namun ramai memilih untuk kekal di rumah,” katanya.

Beliau berkata, dua PPS telah dibuka di Banting dan penduduk mula berpindah secara sukarela tanpa bantuan agensi penyelamat.
Tambahnya lagi, paras air sungai di Labuhan Dagang mula melimpah sekitar jam 3 petang namun tindakan segera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan kerja penambakan tebing membantu mengawal keadaan.
“Paras air di Bukit Changgang juga melepasi paras bahaya, sudah lebih lima meter. Jika hujan turun malam ini, banjir boleh berlaku. Pasukan bomba bersiap siaga 24 jam dan melakukan rondaan di seluruh kawasan,” katanya.
Pasukan bomba di semua zon terlibat kekal berada dalam mod kesiapsiagaan penuh dengan rondaan berterusan bagi memastikan keselamatan penduduk, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
Perkembangan ini selari dengan keadaan cuaca petang tadi apabila MET Malaysia menurunkan tahap amaran hujan lebat di Selangor daripada bahaya kepada waspada.



