SUNGAI PETANI, 27 NOV: Pelajar tingkatan empat direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung insiden pelajar lelaki berusia 16 tahun yang didakwa dipukul sehingga pengsan di sebuah asrama sekolah, Isnin lalu.
Mangsa ditemukan terbaring tidak sedarkan diri dalam tandas asrama oleh seorang guru sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan. Pemeriksaan turut mendapati kesan lebam pada beberapa bahagian badan.
Ibu mangsa dimaklumkan insiden itu sekitar 9.05 pagi, selepas keadaan pelajar terbabit disahkan stabil di hospital.
Difahamkan kejadian berlaku sekitar 12.10 tengah malam dan berpunca daripada dakwaan mangsa memburukkan seorang rakan kepada salah seorang suspek.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata siasatan awal mendapati seorang pelajar berang selepas mangsa dipercayai mengaibkan kawannya sebelum mengajak tiga lagi rakan mencari mangsa.
“Empat pelajar berusia 16 hingga 17 tahun ditahan untuk siasatan. Namun hanya seorang, iaitu pelajar tingkatan empat, direman tiga hari, manakala tiga lagi dibebaskan oleh Mahkamah Sungai Petani,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau memaklumkan kes tersebut adalah yang pertama seumpamanya di asrama berkenaan dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.




