ad

Sindiket bitcoin curi elektrik, TNB rugi RM5.14 bilion

27 Nov 2025, 5:21 AM
Sindiket bitcoin curi elektrik, TNB rugi RM5.14 bilion

SHAH ALAM, 27 NOV: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian sebanyak RM5.14 bilion dari 2020 hingga sekarang akibat penggunaan bekalan elektrik secara haram di premis yang menjalankan aktiviti melombong mata wang kripto dan bitcoin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerugian itu dikenal pasti hasil serbuan di 14,489 premis melalui 91 operasi manakala 77 kertas siasatan dibuka, lapor Harian Metro.

"TNB memantau penggunaan elektrik yang luar biasa, gangguan pada meter dan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Cyber Security Malaysia.

"TNB juga sedang merintis penggunaan meter di pencawang untuk mengesan kebocoran bekalan elektrik," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai jumlah kerugian TNB akibat kecurian elektrik serta jaminan pemilik tidak dipertanggungjawabkan atas bil atau hutang yang terhasil.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata sejak pengenalan sistem biometrik dan pengetatan prosedur, kes pemalsuan identiti telah menurun secara ketara.

"Sebelum ini pada 2021 terdapat 92 kes, 2022 (49 kes) dan 2023 (26 kes) dan selepas pengenalan sistem biometrik hanya terdapat tiga kes," katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan mempertanggungjawabkan pemilik premis untuk menanggung bil tertunggak atau hutang yang terhasil daripada pemalsuan identiti.

"Jaminan itu diberikan jika terbukti pemilik akaun tidak terbabit dalam pemalsuan identiti atau akaun dipalsukan pihak ketiga," katanya.