SHAH ALAM, 8 JUN: Pengurus dan penolong pengurus syarikat teknologi maklumat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan memberi rasuah bagi maklumat operasi serbuan perlombongan mata wang kripto (bitcoin) secara haram.
Lai Chung Lam, 40, dan Lee Chee Yong, 43, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersekali.
Berdasarkan pertuduhan, Lai dan Lee secara bersama-sama didakwa memberi suapan keseluruhan RM56,000 kepada seorang individu melalui perantara di beberapa restoran dan butik di Bandar Sunway, Petaling Jaya pada 28 Ogos, 2 Oktober, 17 November, 16 Disember 2020 dan 10 Mei 2021.
Suapan wang tunai itu sebagai balasan memberikan maklumat berhubung operasi serbuan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap premis yang disyaki menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram melalui penggunaan elektrik secara curang.
Justeru mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika ia berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Bagi lima lagi pertuduhan pilihan, mereka didakwa dalam meneruskan niat secara bersama memberi suatu hadiah berupa wang tunai RM56,000 pada penama, tarikh, lokasi dan tujuan sama.
Justeru mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noorhani Muhmmed Ayub menawarkan jaminan RM60,000 berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport ke mahkamah, melaporkan diri ke pejabat SPRM dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Shahidah Muslimah Roslan mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kepada RM20,000 memandangkan kedua-dua lelaki terbabit mempunyai tanggungan keluarga dan tidak mampu membayar wang jaminan yang tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM25,000 bagi setiap seorang tertuduh selain perlu mematuhi syarat-syarat tambahan dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 Ogos depan.







