ad

Ribut Tropika menuju barat Semenanjung, hujan lebat dijangka hingga Sabtu

27 Nov 2025, 4:24 AM
Ribut Tropika menuju barat Semenanjung, hujan lebat dijangka hingga Sabtu
Ribut Tropika menuju barat Semenanjung, hujan lebat dijangka hingga Sabtu
Ribut Tropika menuju barat Semenanjung, hujan lebat dijangka hingga Sabtu

SHAH ALAM, 27 NOV: Ribut Tropika (Senyar) dikesan memasuki utara perairan Selat Melaka dan dijangka membawa hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora di beberapa negeri di barat dan tengah Semenanjung bermula hari ini.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fenomena itu terbentuk di utara Sumatera, Indonesia dan kini berada 102 kilometer dari barat daya Lumut, Perak dengan kelajuan sekitar 24 kilometer sejam.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata ribut tropika tersebut berpotensi membawa kesan cuaca buruk di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“MetMalaysia telah mengemas kini Amaran Ribut Tropika, Amaran Hujan Berterusan serta Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi negeri terlibat, berkuat kuasa hari ini hingga Sabtu,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi agensi itu.

Beliau menegaskan pihaknya akan terus memantau perkembangan ribut berkenaan dan mengemas kini maklumat berdasarkan keadaan cuaca semasa.

Sehubungan itu, orang ramai disaran mengambil langkah berjaga-jaga serta mengikuti perkembangan cuaca secara konsisten.

“Maklumat terkini boleh diperoleh melalui laman web MET Malaysia, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi atau talian hotline 1-300-22-1638,” katanya lagi.

Kawasan berisiko termasuk kawasan rendah, pesisir pantai serta kawasan berdekatan sungai yang mungkin mengalami limpahan air akibat hujan lebat berterusan.

Amaran cuaca juga menyarankan agar aktiviti laut ditangguhkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini sepanjang tempoh amaran dikeluarkan.