ad

Mangsa banjir digesa daftar MyIBJKM untuk terima bantuan segera RM1,000

27 Nov 2025, 6:30 AM
Mangsa banjir digesa daftar MyIBJKM untuk terima bantuan segera RM1,000
Mangsa banjir digesa daftar MyIBJKM untuk terima bantuan segera RM1,000

SHAH ALAM, 27 NOV: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menggesa mangsa banjir mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui aplikasi MyIBJKM bagi melayakkan mereka menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000.

Ketua Pengarah Nadma, Meor Ismail Meor Akim, berkata pendaftaran rasmi di pusat pemindahan sementara (PPS) adalah syarat utama sebelum bantuan disalurkan kepada ketua isi rumah.

“Bantuan ini juga diberikan kepada mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS. Namun mereka tetap perlu mendaftar melalui MyIBJKM bagi tujuan pengesahan,” katanya selepas melawat PPS di Dewan 2020 di sini.

Beliau berkata proses pendaftaran dipermudah melalui imbasan kod QR yang disediakan pegawai JKM di PPS bagi memastikan data mangsa direkodkan dengan tepat dan cepat.

Menurutnya, pembayaran BWI akan dibuat melalui pindahan dana elektronik bagi mangsa yang mengemas kini maklumat bank dalam aplikasi tersebut, manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut tunai di Bank Simpanan Nasional (BSN).

“BSN akan menghantar SMS kepada penerima yang layak untuk memaklumkan kaedah pembayaran,” katanya.

Dalam pada itu, Meor Ismail mengingatkan keluarga yang mempunyai anak kecil, warga emas dan individu rentan supaya berpindah ke PPS demi keselamatan dan menekankan kepentingan pengawasan terhadap kanak-kanak di pusat perlindungan.

“Kita berdoa agar keadaan kembali pulih dan jumlah mangsa terus berkurangan,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa semua agensi terlibat berada pada tahap kesiapsiagaan penuh dan bekerjasama rapat dalam operasi tindak balas banjir di seluruh negara.