Media sosial ancam kesihatan mental remaja, otak belum matang urus emosi - Pakar

28 Nov 2025, 12:30 AM
Media sosial ancam kesihatan mental remaja, otak belum matang urus emosi - Pakar
Media sosial ancam kesihatan mental remaja, otak belum matang urus emosi - Pakar

SHAH ALAM, 28 NOV: Penggunaan media sosial oleh kanak-kanak dan remaja bawah 16 tahun boleh menjejaskan perkembangan otak serta kestabilan emosi mereka, sekali gus meningkatkan risiko masalah kesihatan mental.

Pakar Psikologi Gunaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nurwina Akmal Anuar berkata bahagian otak yang bertanggungjawab mengawal pertimbangan dan emosi iaitu prefrontal cortex hanya mencapai kematangan sepenuhnya sekitar usia 25 tahun.

“Umur bawah 16 tahun masih belum matang untuk membezakan mana yang baik dan buruk. Fungsi kognitif mereka belum lengkap, menyebabkan kawalan emosi juga belum stabil,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, setiap platform media sosial memberikan kesan berbeza terhadap remaja.

“Facebook lain kesannya, Instagram lain, TikTok juga berbeza. Kajian terkini tahun 2023 dan 2024 menunjukkan semakin tinggi penggunaan media sosial, semakin rendah tahap harga diri remaja dan ini merupakan satu korelasi negatif yang jelas serta konsisten,” jelasnya.

Nurwina berkata, larangan ke atas individu bawah 16 tahun membuka akaun media sosial adalah wajar kerana mereka belum mampu membuat penilaian matang terhadap perbandingan sosial dan kandungan negatif dalam talian.

“Sebab itu had bawah 16 tahun ditetapkan, kerana mereka belum mampu bezakan mana baik dan mana salah. Pada usia ini juga mereka perlu memberi tumpuan kepada pelajaran dan pembentukan diri,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM merujuk kajian antara 2021 hingga 2023 yang mendapati intervensi ‘detox’ media sosial secara total hanya memberi kesan positif jangka pendek.

Pakar Psikologi Gunaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Nurwina Akmal Anuar.

“Sebaliknya, penggunaan terkawal sekitar tiga jam sehari memberikan kesan lebih stabil dan membolehkan pengalaman positif seperti pembelajaran dan inspirasi diperoleh,” tambahnya.

Nurwina turut mengingatkan remaja yang menggunakan media sosial tanpa bimbingan mudah terdedah kepada masalah emosi seperti cepat marah, buli siber dan perbandingan sosial berterusan, yang akhirnya menjejaskan harga diri.

“Kelemahan kawalan diri menyebabkan mereka mudah bergantung kepada penilaian orang lain. Apabila tahap harga diri rendah, ‘likes’, penggunaan filter dan posting menjadi sumber utama validasi diri,” katanya.

Justeru, beliau menyokong langkah kerajaan memperketat keselamatan digital dan menetapkan had umur penggunaan platform tersebut.

“Remaja bawah 16 tahun sebenarnya tidak memerlukan interaksi sosial dalam talian secara berlebihan kerana mereka sedang dalam fasa pembentukan identiti, menumpukan perhatian kepada pelajaran dan pembangunan diri.

“Langkah kerajaan ini sangat tepat kerana kanak-kanak memerlukan perlindungan dan struktur jelas sebelum mereka benar-benar bersedia menggunakan media sosial secara bertanggungjawab,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan individu bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan mendaftar akaun media sosial mulai tahun depan.

Beliau berkata, larangan berkenaan dibuat hasil keputusan Kabinet bagi mengekang jenayah siber rentas usia termasuk melindungi kanak-kanak daripada pemangsa seksual.