ad

Ribut tropika hampiri utara Semenanjung, penduduk dinasihat berjaga-jaga

26 Nov 2025, 8:45 AM
Ribut tropika hampiri utara Semenanjung, penduduk dinasihat berjaga-jaga

SHAH ALAM, 26 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran awal mengenai kehadiran ribut tropika yang sedang menghampiri perairan utara Semenanjung Malaysia dan berpotensi membawa cuaca ekstrem dalam tempoh terdekat.

Ribut itu dikesan pada kedudukan 4.5 darjah Utara dan 97.9 darjah Timur serta bergerak ke arah Barat Barat Daya pada kelajuan 9 kilometer sejam.

Angin maksimum yang mampu mencecah sehingga 83 kilometer sejam itu dijangka cukup kuat untuk menghasilkan ombak besar, angin kencang dan hujan lebat berterusan.

Keadaan ini boleh meningkatkan risiko banjir, pokok tumbang dan laut bergelora, khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung termasuk Kedah, Perlis dan utara Perak.

Orang ramai digesa berada dalam keadaan bersiap sedia, mengutamakan keselamatan keluarga serta meneliti potensi kesan cuaca buruk, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan berisiko seperti tebing sungai, cerun bukit dan kawasan rendah yang mudah dinaiki air.

MET Malaysia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memantau maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan dari semasa ke semasa melalui laman sesawang www.met.gov.my, aplikasi mudah alih myCuaca, saluran media sosial rasmi serta talian hotline 1-300-22-1638.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat cuaca yang tidak sahih dan hanya merujuk kepada sumber rasmi bagi memastikan sebarang tindakan persediaan dan langkah keselamatan dapat diambil dengan tepat dan berkesan," katanya.