ad

Ribut Tropika Ramil ragut tujuh nyawa di Filipina, dua masih hilang

20 Okt 2025, 8:26 AM
Ribut Tropika Ramil ragut tujuh nyawa di Filipina, dua masih hilang
Ribut Tropika Ramil ragut tujuh nyawa di Filipina, dua masih hilang

MANILA, 20 OKT: Seramai tujuh orang dilaporkan maut manakala dua lagi hilang akibat Ribut Tropika Ramil, lapor Agensi Berita Filipina (PNA) memetik Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) pada Isnin.

Dalam laporan situasi terkininya, NDRRMC turut memaklumkan seorang cedera akibat siklon itu.

Lima mangsa yang terkorban berasal dari Calabarzon (Tagalog Selatan) manakala dua lagi dari Wilayah 6 (Visayas Barat). Sementara itu, dua individdu yang dilaporkan hilang berasal dari Visayas Barat manakala mangsa yang cedera dari Calabarzon.

Laporan NDRRMC menyatakan semua angka itu masih tertakluk kepada proses pengesahan.

Ramil, yang melanda sebahagian Luzon dan Visayas pada hujung minggu lepas turut menjejaskan 37,852 keluarga atau 133,196 orang di Wilayah 2 (Lembah Cagayan), 3 (Luzon Tengah), Wilayah 6 dan Wilayah 8 (Visayas Timur).

Setakat tengah hari Isnin, 2,260 keluarga menerima bantuan di 166 pusat pemindahan manakala 1,720 lagi menerima bantuan di lokasi lain, menurut NDRRMC.

Sebanyak 68 rumah dilaporkan rosak, kesemuanya di Wilayah 6, dengan 57 diklasifikasikan sebagai “rosak sebahagian” dan 11 lagi “rosak sepenuhnya.”