SHAH ALAM, 26 NOV: Polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun bagi membantu siasatan kes serangan terhadap wartawan sukan veteran, Haresh Deol, di Bangsar semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata pihaknya memperoleh perintah reman tiga hari ke atas suspek, lapor New Straits Times.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan melibatkan ugutan jenayah dan menyebabkan kecederaan,” katanya.
Semalam, polis menerima laporan mengenai kejadian itu yang berlaku ketika Haresh, Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), sedang keluar makan tengah hari.
Mangsa mengalami kecederaan di muka, tangan dan badan selepas diserang dua lelaki manakala seorang lagi dipercayai merakam insiden tersebut
Majlis Media Malaysia (MMC), NPC dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam keras serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan yang mengancam kebebasan media.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut menggesa siasatan segera dijalankan.




