SHAH ALAM, 26 NOV: Warga Selangor diingatkan lebih berhati-hati menghadapi musim tengkujuh susulan cuaca tidak menentu yang meningkatkan risiko banjir di beberapa kawasan.
EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin berkata, penduduk khususnya di kawasan berisiko tinggi perlu sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.
“Pada musim ini, selain menjaga keselamatan, penting juga untuk kita memberi perhatian kepada aspek kesihatan diri dan keluarga," katanya kepada Media Selangor.
Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada ibu bapa mengelakkan anak-anak bermain air banjir.

"Air banjir dikhuatiri tidak bersih dan mempunyai banyak bakteria serta kuman yang boleh membawa pelbagai risiko penyakit," ujarnya.
Beliau menasihatkan orang ramai memastikan tahap kebersihan diri sentiasa terjaga termasuk kerap mencuci tangan dan memastikan makanan bebas daripada sebarang pencemaran.
Katanya, individu yang mengalami simptom penyakit perlu segera mendapatkan rawatan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.
“Langkah berjaga-jaga ini penting untuk memastikan keselamatan diri, anak-anak dan ahli keluarga sentiasa terpelihara sepanjang musim banjir,” jelasnya.





