KLANG, 26 NOV: Forum AI & Media: Perspektif Baharu Cabaran dan Peluang anjuran Media Selangor menerima maklum balas positif daripada para peserta yang menyifatkan inisiatif itu sebagai platform penting dalam meningkatkan pemahaman mengenai penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam organisasi.
Menurut Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) Mahadi Mohd Mustafa, forum itu bukan sahaja memberi pendedahan mendalam mengenai aplikasi AI kepada agensi serta pihak berkuasa tempatan, malah turut mengukuhkan reputasi Media Selangor sebagai media rasmi Kerajaan Negeri dalam era digital.
"Inisiatif ini juga bertujuan membina jaringan strategik, mempertingkat kecekapan operasi melalui teknologi kecerdasan buatan, serta memastikan penyampaian maklumat kerajaan dapat disampaikan dengan lebih tepat, pantas dan berkesan," ujarnya.
Seorang peserta, Eksekutif Media Sosial Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Zoey Bahar, berkata, program tersebut amat relevan memandangkan kecanggihan AI kini semakin mempengaruhi sektor komunikasi.
"Program ini sangat membantu kerana panel-panel yang hadir memberikan cadangan baharu tentang cara kita perlu berdepan dengan AI dan bagaimana teknologi ini boleh digunakan dalam pelbagai perspektif seperti pendidikan, korporat dan politik.
"Program seumpama ini boleh dijadikan penganjuran berkala dan diperluaskan kepada lebih ramai peserta luar, bukan terhad kepada anak syarikat Kerajaan Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja," katanya ketika ditemui selepas forum.
Sementara itu, Eksekutif Kanan Jabatan Komunikasi dan Korporat Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) Siti Norfadila Ab Wahab berkata program tersebut berjaya memberi keseimbangan antara peluang dan cabaran AI dalam kerjaya harian.
"Pencerahan yang diberikan panel telah membuka pandangan baharu mengenai peranan teknologi itu. AI memainkan peranan besar dalam hidup dan kerjaya kita pada masa kini, dan hari ini saya nampak dengan lebih jelas ia adalah alat yang membantu kita selagi kita tidak menyalahgunakannya.
"Ia adalah alat yang membantu kita tapi dalam masa sama, kita tidak boleh salah guna, dan mesti gunakan dengan bijak. Lepas hari ini, saya nampak banyak cabang lain yang saya boleh guna, dan saya akan aplikasikannya dengan berhemah," katanya.
Forum AI & Media: Perspektif Baharu Cabaran dan Peluang yang disertai lebih 100 peserta daripada pelbagai agensi anjuran Media Selangor, bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai peranan teknologi kecerdasan buatan dalam komunikasi rasmi, selain mengukuhkan kemahiran dalam menghasilkan kandungan yang lebih tepat, kreatif dan responsif selaras keperluan penyampaian maklumat Kerajaan Negeri.
Perkongsian selama dua jam itu menampilkan panel terdiri daripada Ketua Editor Media Sosial Astro Awani, Hilal Azmi, Pengarah Pusat Kecemerlangan bagi Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (AICS) MSU Prof Dr Muhammad Irsyad Abdullah serta Ahli Lembaga Pengasas Majlis Media Selangor, Radzi Razak.




