SHAH ALAM, 25 NOV: Sebanyak 23 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di tujuh daerah di Selangor berikutan situasi banjir yang masih berlarutan.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan sehingga jam 7.55 malam tadi, 2,919 mangsa daripada 790 keluarga dipindahkan ke PPS di seluruh negeri.
Kuala Selangor mencatat jumlah mangsa tertinggi apabila sembilan PPS di daerah itu menempatkan 1,570 mangsa.
Ia diikuti Klang yang membuka empat PPS dengan 595 mangsa, manakala Shah Alam, tiga PPS menempatkan 356 mangsa.
Di daerah Sabak Bernam, tiga PPS beroperasi dengan menempatkan 231 mangsa, manakala dua PPS di Hulu Langat menempatkan 132 orang.
Sementara itu, Sepang dan Hulu Selangor masing-masing mengaktifkan satu PPS dengan bilangan mangsa 19 dan 16 orang.
Kerajaan Negeri sebelum ini sudah mengarahkan semua agensi terlibat agar bersedia sepenuhnya menghadapi Monsun Timur Laut termasuk dari segi logistik dan bantuan kecemasan.
Pihak berkuasa juga menasihatkan orang awam agar sentiasa peka terhadap amaran cuaca dan mengikuti perkembangan semasa melalui saluran rasmi.








