SHAH ALAM, 25 NOV: Seramai 5,293 guru memilih bersara awal secara pilihan yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari 2021 hingga 2024.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata jumlah itu bersamaan 1.24 peratus daripada keseluruhan jawatan guru di Kementerian Pendidikan (KPM).
“Berdasarkan data KPM, 67.44 peratus guru yang memohon persaraan awal menyatakan hilang minat meneruskan kerjaya sebagai sebab utama.
“Masalah keluarga mencatat 17.43 peratus, diikuti masalah kesihatan (7.69 peratus), beban tugas (5.37 peratus) dan masalah peribadi (2.07 peratus),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH–Beruas) mengenai faktor utama persaraan awal guru serta beban pentadbiran berkaitan pengisian data prestasi murid.
Fadhlina berkata, KPM komited menangani isu kekurangan guru melalui langkah segera dan berterusan, khususnya melibatkan pengisian di sekolah rendah dan menengah bagi memastikan proses pengajaran tidak terjejas.
Sehingga 22 September lalu, seramai 10,045 guru baharu sudah ditempatkan di sekolah KPM.
Terkini, KPM sedang menempatkan 10,096 guru baharu daripada pasaran terbuka dan graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), yang akan mula bertugas pada November ini.
“Ini menjadikan keseluruhan guru yang sudah dan akan ditempatkan pada tahun ini 20,141 orang,” katanya.
Sebagai langkah jangka panjang, Fadhlina berkata KPM melalui Institut Pendidikan Guru (IPG) meningkatkan ambilan calon PISMP kepada 11,000 orang pada 2025, berbanding 6,300 orang pada 2024.
KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga menubuhkan Sekretariat Bersama pada Mac lalu bagi memperkukuh kerjasama strategik untuk mengatasi isu kekurangan guru.
Selain itu, pengambilan guru tetap dilaksanakan dua kali setahun, manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) membuka permohonan sepanjang tahun bagi mempercepat proses pelantikan dan penempatan.
KPM turut memperluas laluan ikhtisas melalui Program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) bagi memberi peluang kepada graduan bukan pendidikan menyertai profesion keguruan.
“Pelbagai inisiatif pembangunan profesionalisme berterusan dilaksanakan, termasuk pemantapan pendidikan digital.
“Bagi mengurangkan beban tugas guru, KPM melaksanakan 7 Langkah Segera Kesejahteraan Guru sejak 2023 yang memberi fokus kepada pedagogi, pentaksiran, pengoperasian sekolah dan pengurusan pentadbiran,” katanya.
Beliau berkata, KPM juga menghapuskan tugas bukan akademik tanpa punca kuasa melalui Modul Tadbir Urus Sekolah (MySG) dan memperkenalkan deskripsi tugas yang lebih jelas.
“Inisiatif MySTEP dilaksanakan bagi menempatkan Pembantu Guru di sekolah.
“KPM turut memanfaatkan teknologi melalui Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) dan idMe bagi mengurangkan pengisian data berulang.
“Pelantar DELIMa menyediakan aplikasi AI, bahan PdP digital dan latihan kejurulatihan untuk menyokong guru secara lebih efektif dan kreatif,” katanya.




