ad

Banjir: EXCO turun padang santuni 66 keluarga di PPS Seksyen 16

24 Nov 2025, 3:34 PM
Banjir: EXCO turun padang santuni 66 keluarga di PPS Seksyen 16
Banjir: EXCO turun padang santuni 66 keluarga di PPS Seksyen 16
Banjir: EXCO turun padang santuni 66 keluarga di PPS Seksyen 16
Banjir: EXCO turun padang santuni 66 keluarga di PPS Seksyen 16

SHAH ALAM, 24 NOV: EXCO Pengurusan Bencana, Mohd Najwan Halimi, turun padang menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seksyen 16 di sini malam tadi.

Beliau yang tiba sekitar jam 8 malam tadi sejurus tamat persidangan Dewan Negeri Selangor memaklumkan seramai 66 keluarga dari Kampung Padang Jawa dipindahkan ke PPS berkenaan susulan hujan lebat sejak pagi tadi.

“Pegawai daerah memaklumkan bahawa satu lagi PPS baharu di Sekolah Rendah Agama Seksyen 16 akan dibuka untuk menampung pertambahan jumlah mangsa banjir di kawasan ini.

"Kita akan pastikan mereka yang ditempatkan di PPS dapat makanan mencukupi dan tinggal dalam keadaan selesa semantara menunggu banjir surut," katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Sekiranya diminta berpindah, patuhilah arahan demi keselamatan diri dan keluarga,” ujarnya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, memaklumkan pentadbiran negeri memantau keadaan banjir dengan rapi dan mengarahkan EXCO serta agensi berkaitan turun padang untuk menyantuni mangsa.

Dalam ucapan penangguhan sidang Dewan Negeri Selangor petang tadi, beliau berkata pengumuman bantuan khas kepada mangsa banjir akan dibuat esok, selain taklimat khas pengurusan bencana akan diadakan bagi menyelaras tindakan lapangan secara lebih teratur.

Setakat 8.30 malam ini, seramai 1,732 mangsa daripada 474 keluarga ditempatkan di 15 PPS, dengan peningkatan mendadak memaksa pengaktifan lebih banyak PPS, khususnya di Hulu Langat, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Klang.