SHAH ALAM, 25 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil langkah proaktif mengurangkan kesesakan trafik dengan melaksanakan lampu isyarat pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di lokasi sesak.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, lampu isyarat berkenaan mampu menyesuaikan waktu menunggu mengikut jumlah kenderaan di persimpangan seterusnya mempercepat aliran trafik dan mengurangkan kesesakan.
“Penyuraian trafik memerlukan penumpuan khusus terutama di persimpangan utama dan bulatan di Seksyen U10, U14 serta Seksyen 1 hingga 25.
"Jabatan Kejuruteraan akan mengemukakan cadangan penambahbaikan reka bentuk jalan bagi memastikan kelancaran,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat bulanannya semalam.
MBSA turut memberitahu Jabatan Kejuruteraan juga menjalankan kajian Level Of Service (LOS) untuk menilai darjah ketepuan di persimpangan.
"Dengan adanya data bancian kenderaan di persimpangan lampu isyarat, penyusunan semula waktu menunggu dan bergerak dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan," tambahnya.




