ad

Ban pecah di Parit 5 Sekinchan, 39 penduduk terjejas

24 Nov 2025, 5:52 AM
Ban pecah di Parit 5 Sekinchan, 39 penduduk terjejas
Ban pecah di Parit 5 Sekinchan, 39 penduduk terjejas

SHAH ALAM: Seramai 39 penduduk Kampung Jalan Pantai Seri Sentosa terjejas selepas ban di Parit 5, Sekinchan pecah awal pagi tadi hingga menyebabkan kediaman mereka dinaiki air.

Kejadian berlaku ketika hujan berterusan dan air pasang besar, memaksa pasukan bomba memindahkan beberapa keluarga ke pusat pemindahan.

Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.40 pagi sebelum enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan dikerahkan ke lokasi.

Menurut beliau, pasukan tiba tujuh minit kemudian dan mendapati kira-kira 39 penduduk terjejas akibat limpahan air.

Katanya, setakat ini seramai 10 keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Sekinchan.

“Cuaca masih lagi hujan dan air pasang besar. Kerja-kerja memindahkan mangsa masih diteruskan,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Terdahulu, Media Selangor melaporkan struktur ban di kawasan berkenaan pecah pada 6 November lalu, sekali gus meningkatkan risiko banjir di sekitar Parit 5 Sekinchan.

Siasatan awal mendapati reka bentuk benteng terdahulu menyebabkan kira-kira 20 meter struktur tersebut pecah selepas dipukul ombak kuat.