SHAH ALAM, 24 NOV: Kerajaan Negeri menggalakkan penyertaan dan kerjasama pihak swasta dalam usaha memperkenal bidang sains dan teknologi kepada pelajar dengan lebih pantas, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penglibatan industri mampu mempercepatkan proses serta usaha negeri untuk memperkukuhkan presentasi teknikal dan vokasional dalam kalangan pelajar sekolah.
“Saya setuju bahawa perlu ada keterlibatan pihak swasta atau industri dalam memastikan peralihan pemahaman terhadap sains, teknologi, automasj dan juga digitalisasi ini dapat digerakkan dengan lebih pantas.
“Apatah lagi kerana kemampuan institusi ini untuk menyediakan laluan yang lebih jelas kepada anak-anak ini untuk memilih bidang sains, teknologi dan juga teknikal dan vokasional yang melibatkan kejuteraan dan matematik,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung pengukuhan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Amirudin berkata, Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) akan menggerakkan usaha ke sekolah menengah bermula tahun depan, bagi meneroka potensi pelajar sekolah yang berminat terhadap bidang berkenaan.
Menurutnya, inisiatif baharu ini bakal memudahcara serta memberi persediaan tambahan kepada pelajar terbabit berbanding permohonan kemasukan selepas Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) seperti kebiasaan sebelum ini.
“Sebelum ini kita hanya tunggu mereka lepas SPM. Sekarang ini kita mahu masuk sekolah menengah di tingkatan menengah tinggi atau menengah atas dan mungkin kalau ada ruang kita boleh masuk di menengah rendah.
“Di situlah kita menyediakan laluan supaya anak-anak ini bersedia dan minat serta menceburi dan meneroka bidang sains dan teknologi atau pun yang kita panggil teknikal dan vokasional yang berprestasi tinggi,” katanya.
STDC yang dijenamakan semula pada 2020 merupakan institusi pendidikan teknikal yang bernaung di bawah Kerajaan Negeri dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sebagai pemegang saham terbesar di dalam syarikat.






