SHAH ALAM, 24 NOV: Seramai 39 penduduk daripada 10 keluarga di Kampung Nelayan Sungai Besar dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kesemua mangsa ditempatkan di PPS Dewan Seri Bernam bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mereka terjamin.
“Kerja pemantauan sedang dijalankan oleh anggota bomba bagi menilai keadaan semasa, termasuk risiko limpahan air susulan hujan yang berterusan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, pemantauan harian turut dilakukan di beberapa lokasi lain di Selangor berikutan perubahan cuaca yang tidak menentu.
Empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan dengan kekuatan 21 anggota bagi memantau kawasan berisiko.
“BBP Sungai Besar memantau Taman Berkat, Bagan Sungai Besar, Kampung Nelayan dan Muara Sungai Haji Dorani.
“BBP Bestari Jaya pula memantau Taman Saujana Aman, Pintu Air Ijok, Jalan Abdul Aziz, Jalan Robinson dan Jalan Ehsan.
“BBP Shah Alam memberi tumpuan kepada Sri Muda Seksyen 25, Kampung Baru HICOM Seksyen 26, Jalan Kebun, Padang Jawa dan Kampung Kebun Bunga Seksyen 22, manakala BBP Bukit Jelutong memantau Seksyen 13 dan TTDI Jaya,” katanya.
Beliau berkata JBPM Selangor akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan menasihatkan penduduk di kawasan rendah supaya peka terhadap arahan pihak berkuasa.





