ad

E-sukan bukan punca ganas, pakar saran kawalan kandungan lebih ketat

24 Nov 2025, 1:00 AM
E-sukan bukan punca ganas, pakar saran kawalan kandungan lebih ketat
E-sukan bukan punca ganas, pakar saran kawalan kandungan lebih ketat
E-sukan bukan punca ganas, pakar saran kawalan kandungan lebih ketat
E-sukan bukan punca ganas, pakar saran kawalan kandungan lebih ketat

SHAH ALAM, 24 NOV: Permainan sukan elektronik atau e-sukan bukanlah punca utama tingkah laku ganas dalam kalangan pelajar, sebaliknya ketiadaan kawalan terhadap kandungan dan masa bermain menjadi faktor membimbangkan yang boleh menjejaskan emosi serta personaliti anak-anak.

Pakar Psikiatri MSU Medical Centre, Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi menjelaskan bahawa majoriti pelajar yang bermain e-sukan tidak menunjukkan perilaku agresif jika diberi bimbingan dan pemantauan yang mencukupi.

“Banyak kajian menunjukkan majoriti pelajar yang bermain permainan elektronik tidak menjadi ganas. Masalah timbul apabila tiada kawalan masa, kandungan tidak sesuai dan pengaruh emosi tidak dipantau,” katanya.

Pakar Psikiatri MSU Medical Centre, Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi

Beliau turut mencadangkan agar sistem penilaian permainan dijadikan mekanisme kawalan utama untuk membantu ibu bapa membuat keputusan sebelum membenarkan anak mengakses sesuatu permainan.

Dalam pada itu, mantan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SIRAJ AIM, Anas Mohamad, 38, berkata permainan elektronik kini sangat dekat dengan kehidupan harian anak-anak dan berpotensi membentuk cara berfikir serta personaliti mereka.

“Kalau tiada penilaian, mereka akan terdedah kepada perkara tidak baik seterusnya cara berfikir mereka dalam dunia sebenar akan dipengaruhi seperti cara mereka berfikir dalam permainan,” katanya.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SIRAJ AIM Anas Mohamad

Sementara itu, pengulas MPL Malaysia, Syed Adeen Jamal, 29, berkata industri e-sukan kini jauh lebih maju berbanding dahulu dan mampu memberi kesan lebih besar kepada pemain dari segi emosi dan tingkah laku.

“Sekarang e-sukan lebih maju dan grafik lebih canggih. Memang ada yang beranggapan e-sukan ini mempunyai pengaruh negatif sehingga ada juga kes yang kurang enak didengar, tapi tidak dinafikan ia juga ada impak positif,” katanya.

Pengulas MPL Malaysia Syed Adeen Jamal

Tambah beliau, kejayaan pasukan Mobile Legends Selangor di peringkat antarabangsa membuktikan bahawa e-sukan juga mampu membuka peluang dan potensi besar jika dimanfaatkan dengan bijak.

Tragedi menyayat hati membabitkan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga yang maut ditikam oleh pelajar lelaki tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, mencetuskan kebimbangan berhubung pengaruh permainan video terhadap pelajar.

Insiden yang berlaku di kawasan tandas perempuan itu menjadi tular selepas tindakan suspek yang kelihatan bersahaja serta penemuan nota bertulis ‘Zero Day’ dan NPC (Non Playable Character) didakwa berkait dengan budaya permainan video dan kandungan digital tertentu.

Susulan kejadian, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata siasatan masih dijalankan termasuk meneliti platform atau kandungan digital yang dipercayai mempengaruhi tindakan suspek.