SHAH ALAM, 24 NOV: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat kepada 10,460 orang setakat 6 pagi ini, membabitkan lapan negeri yang kini berada dalam pemantauan rapi pihak berkuasa.
Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan kekal merekodkan jumlah tertinggi apabila seramai 8,235 mangsa ditempatkan di 33 pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa jajahan termasuk Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh.
Perak menjadi negeri kedua paling terjejas dengan 921 mangsa yang kini berada di 16 PPS melibatkan daerah Perak Tengah, Manjung, Larut Matang dan Selama serta Batang Padang, lapor Berita Harian.
Sementara itu, Terengganu melaporkan 369 mangsa di dua PPS di Besut, manakala Kedah mencatatkan 337 mangsa di tiga PPS di Kulim.
Di Perlis, enam PPS dibuka di Padang Besar dan Kangar untuk menempatkan 283 mangsa, manakala Pulau Pinang merekodkan 237 mangsa di empat PPS di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.
Selangor pula melaporkan 34 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di satu PPS di Sabak Bernam.
Di Sarawak, 44 mangsa dipindahkan ke PPS di daerah Miri susulan hujan berterusan.
Pihak berkuasa memaklumkan pemantauan rapi diteruskan di kawasan berisiko terutama lokasi berhampiran sungai serta kawasan rendah, selain menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan amaran cuaca dan mematuhi arahan keselamatan.







