SHAH ALAM, 23 NOV: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup bekalan elektrik di beberapa kawasan sekitar Kota Bharu dan Bachok hari ini berikutan hujan berterusan serta situasi banjir di Kelantan.
Dalam kenyataan, TNB menjelaskan langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan pengguna di lokasi yang terjejas, khususnya melibatkan kawasan Taman Bendahara dan Pengkalan Chepa di Kota Bharu serta Wakaf Aik di Bachok.
TNB memaklumkan penutupan tambahan akan dilaksanakan di mana-mana pencawang yang berisiko sekiranya paras air terus meningkat dan mengancam keselamatan orang ramai.
"Sekiranya banjir semakin bertambah buruk, berisiko serta membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna setempat," kata kenyataan itu.
Orang ramai turut diingatkan supaya berwaspada dengan hujan lebat serta risiko banjir, selain memastikan dokumen penting disimpan di tempat selamat. TNB merakamkan penghargaan atas kesabaran pengguna sepanjang gangguan bekalan berlaku.





