SHAH ALAM, 23 NOV: Bermula tahun hadapan, kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah tidak akan dibenarkan memiliki akaun media sosial sendiri.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bertujuan melindungi kanak-kanak daripada ancaman dalam talian, lapor New Straits Times.
“Itu adalah keputusan Jemaah Menteri, untuk melarang mereka di bawah umur 16 tahun daripada memiliki akaun media sosial.
“Kita berharap menjelang tahun depan, semua platform media sosial akan mematuhi keputusan kerajaan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Seminar Kesedaran Penipuan Siber bagi Komuniti India, hari ini.
Fahmi berkata, kerajaan kini sedang meneliti pelaksanaan had umur umum seperti yang dilaksanakan di Australia dan beberapa negara lain, terutamanya dari aspek mekanisme penguatkuasaan.




