ad

Usahawan i-Seed Selangor berpeluang tembusi pasaran antarabangsa melalui SIBS

22 Nov 2025, 2:30 PM
Usahawan i-Seed Selangor berpeluang tembusi pasaran antarabangsa melalui SIBS
Usahawan i-Seed Selangor berpeluang tembusi pasaran antarabangsa melalui SIBS

KUALA LANGAT, 22 NOV: Usahawan di bawah program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dan i-Seed berpeluang memperluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa melalui penyertaan dalam pameran besar seperti Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS).

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata pendekatan Kerajaan Negeri bukan sekadar menyediakan bantuan asas, tetapi membina keupayaan usahawan agar mampu berdikari dan keluar daripada kemiskinan secara mampan.

“Kita bukan hanya beri ikan, tetapi beri kail dan ilmu supaya mereka boleh berdiri sendiri. Melalui kursus dan bimbingan, mereka boleh memperkasa perniagaan,” katanya.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V. Papparaidubercakap kepada media selepas melawat reruai pameran dalam Karnival Blueprint dan Iseed KitaSelangor 2025 di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 22 November 2025.Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata beberapa usahawan yang menyertai SIBS berjaya menembusi pasaran negara Arab dengan mengeksport kerepek, membuktikan kualiti produk tempatan semakin diyakini.

Namun, jelasnya, akses pasaran dan kesalinghubungan masih menjadi cabaran utama, justeru pameran bertaraf antarabangsa seperti SIBS menjadi platform terbaik mempromosikan produk.

“Kita mungkin berbincang dengan EXCO Pelaburan Ng Zse Han untuk melihat ruang memberi peluang atau diskaun kepada usahawan yang berminat menyertai pameran luar. Ini boleh membantu mereka naik ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Karnival Blueprint dan i-SeeD Kita Selangor 2025 di Dataran Pantai Morib, di sini, hari ini.

EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V. Papparaidu beramah mesra bersama pengunjung ketika melawat reruai pameran dalam Karnival Blueprint dan Iseed KitaSelangor 2025 di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 22 November 2025.Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Papparaidu turut menambah bahawa ramai usahawan kini memanfaatkan Facebook Live dan TikTok Live bagi meluaskan capaian produk.

“Contohnya, seorang usahawan wanita berjaya mendapat kontrak pembekalan kuih-muih kepada Petronas. Walaupun berdepan sedikit isu teknikal, kita sedang membantu menyelesaikannya.

“Yang penting, usahawan ada minat dan kemahuan untuk maju. Kerajaan tidak akan menolak mereka yang berusaha,” katanya.